fb fb fb fb fb

Shi, Popov & Vitidsarn sahkan slot separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF

Shi Yuqi (kiri), Kunlavut Vitidsarn (tengah) dan Christo Popov (kanan)/REUTERS

HANGZHOU, 20 Disember- Juara dunia, Shi Yuqi menewaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka untuk muncul pendahulu Kumpulan B pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF (WTF) 2025 pada Jumaat.

Bintang China itu mempamerkan aksi dominan apabila mencatat kemenangan mudah 21-9, 21-11 dalam perlawanan sebelah pihak.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, pemain China, Li Shifeng terpaksa menarik diri ketika menentang wakil Taiwan, Chou Tien-chen, selepas pemenang pingat emas Sukan Asia itu mengalami kecederaan apabila terseliuh kaki kanan.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Kunlavut Vitidsarn memastikan slot separuh akhir terakhir Kumpulan A selepas menewaskan pemain Denmark, Anders Antonsen.

Pemain Thailand itu menang 21-15, 18-21, 21-13 dalam perlawanan sengit yang berlangsung tiga set.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, pemain Perancis, Christo Popov bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie, yang sudah tersingkir daripada kejohanan.

Popov, yang telah mengesahkan kelayakan ke separuh akhir, mencatat kemenangan 18-21, 21-16, 21-13.

Aksi separuh akhir menyaksikan Shi Yuqi bakal berdepan Kunlavut Vitidsarn manakala Christo Popov berdepan tentangan dari wakil Jepun, Kodai Naraoka, hari ini. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM