UNITED KINGDOM, 20 Disember - Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal bertandang ke Goodison Park menentang Everton, pada Sabtu dalam usaha mempertahankan kelebihan dua mata bagi memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.
Genap enam tahun Pengurus Arsenal Mikel Arteta bersama, The Gunners berjaya menghadiahkan satu kejuaraan Piala FA serta dua Piala Perisai Komuniti kepada kelab London Utara itu, namun Arsenal masih belum berjaya menamatkan musim sebagai juara liga, selepas sekadar muncul naib juara dalam tiga musim terakhir.
"Seorang individu tidak mampu mengubah segalanya, lebih-lebih lagi apabila membabitkan sebuah kelab sebesar ini. Anda memerlukan ramai individu yang baik, komited, berkongsi visi, etika kerja dan semangat yang sama," kata Arteta kepada wartawan pada Jumaat ketika mengimbas kembali kejayaan bersama Arsenal.
Beliau menegaskan kejayaan sesebuah pasukan turut bergantung kepada sokongan menyeluruh, termasuk barisan pengurusan dan pemain.
"Saya sangat bertuah kerana dikelilingi individu seperti itu sejak awal. Sokongan daripada pihak pengurusan juga penting, namun yang paling utama adalah pemain. Mereka perlu mempercayai apa yang anda sampaikan dan lakukan. Saya berasa amat bertuah kerana para pemain sentiasa memberikan 100 peratus komitmen setiap hari," katanya.
Arsenal hadir ke perlawanan itu selepas meraih kemenangan sukar hasil dua gol sendiri pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers. Namun, The Gunners masih belum mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan liga terakhir di tempat lawan, termasuk kekalahan kepada Aston Villa kendalian Unai Emery, pengurus yang pernah digantikan Arteta di Arsenal.
Dalam perkembangan kecederaan, Arsenal masih belum menerima kepulangan pemain yang cedera minggu ini, dengan pertahanan Ben White dijangka terlepas beberapa perlawanan akan datang.
Bagaimanapun, penyerang Kai Havertz dan pertahanan tengah Gabriel Magalhaes hampir pulih sepenuhnya, tambah pengendali dari Sepanyol itu.
Mengulas pertemuan dengan Pengurus Everton, David Moyes, Arteta menyatakan rasa hormat dan penghargaan terhadap bekas mentornya itu.
"Saya amat menghargai dan mengagumi beliau. David Moyes mengajar saya kecintaan terhadap permainan ini serta integriti yang diperlukan dalam bola sepak. Cara beliau mengurus kelab, pemain dan individu di sekelilingnya amat luar biasa. Sumbangannya bukan sahaja kepada Everton, malah kepada bola sepak Inggeris secara keseluruhan," katanya.
Sementara itu, Arteta mengakui kunjungan ke stadium baharu Everton buat pertama kali memberikan perasaan bercampur baur, namun tetap teruja.
"Ia satu pengalaman yang agak pelik tetapi sangat mengujakan. Salah satu stadium paling ikonik dalam Liga Perdana Inggeris tidak lagi menjadi sebahagian daripada jadual kami, namun kami kini berpeluang beraksi di stadium baharu yang hebat. Perlawanan malam Sabtu pasti menjanjikan suasana luar biasa," katanya.- REUTERS