KUALA LUMPUR, 5 Januari- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan kerjasama strategik dengan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), yang kini menjadi Rakan Perkhidmatan Kewangan Rasmi BAM.
Kerjasama tersebut menyaksikan Allianz Malaysia memberikan perlindungan menyeluruh kepada pemain dan jurulatih BAM, termasuk atlet senior dan muda yang bertanding di peringkat antarabangsa.
Langkah itu bagi memastikan kebajikan mereka terjaga ketika berada di luar negara, membolehkan pemain fokus sepenuhnya untuk meraih kejayaan di pentas dunia.
Selain itu, Allianz Malaysia turut diumumkan sebagai penaja utama kejohanan Allianz Malaysia SUPER 100, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Juara pada Oktober nanti.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, berkata kerjasama berkenaan adalah langkah penting dalam usaha memperkukuh sokongan terhadap sukan badminton negara.
"Allianz Malaysia adalah syarikat insurans yang unggul di negara ini, malah mereka turut terlibat dalam acara sukan bertaraf dunia seperti Olimpik. Sokongan mereka terhadap BAM mencerminkan komitmen jitu untuk membangunkan sukan badminton dan memberi motivasi kepada pemain," katanya.
Menurutnya lagi, sokongan daripada pihak korporat seperti Allianz Malaysia sangat penting dalam membantu menjayakan program pembangunan BAM dan memberi impak positif kepada prestasi atlet.
Sejak 2022, Allianz Malaysia aktif menyokong badminton peringkat akar umbi menerusi kejohanan Allianz Junior Badminton Championship (AJBC).
Pada tahun lalu, lebih 3,000 pemain muda menyertai pusingan kelayakan yang diadakan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Allianz turut menanggung semua perbelanjaan untuk finalis, termasuk pengangkutan dan penginapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang, berkata komitmen Allianz terhadap sukan bukan perkara baharu, dengan syarikat itu menjadi penaja utama acara sukan global seperti Olimpik dan Paralimpik.
"Melalui kejayaan AJBC, kami melihat potensi besar untuk menyumbang di peringkat kebangsaan, dan yakin kerjasama dengan BAM dapat membawa badminton Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Tambah beliau, Allianz Malaysia amat berbesar hati menjadi penaja utama kejohanan Allianz Malaysia SUPER 100, selain meneruskan program pembangunan bakat muda melalui AJBC yang bakal memasuki edisi keempat tahun ini.
Maklumat lanjut mengenai kejohanan AJBC 2025 akan diumumkan oleh Allianz Malaysia dalam masa terdekat.