(Pemain tengah FC Barcelona, Alexia Putellas (KIRI) menerima anugerah Ballon d'Or Wanita
keduanya daripada bekas pemain bola sepak Ukraine Andriy Shevchenko pada Majlis
Anugerah Ballon d'Or France 2022 di Theatre du Chatelet di Paris / AFP)
PARIS, 18 Oktober- Alexia Putellas dari Sepanyol memenangi Ballon d'Or wanita untuk tahun kedua berturut-turut pada Isnin.
Penganugerahan itu datang selepas melalui musim di mana dia menjadi penjaring terbanyak ketika kelabnya Barcelona mara ke final Liga Juara-Juara.
Putellas berusia 28 tahun, menerima persaingan sengit daripada calon lain, terutamanya daripada tiga bintang pasukan England yang memenangi Kejohanan Eropah, sebelum dinamakan penerima anugerah itu berikutan kempen yang turut menyaksikan Barcelona memenangi liga domestik dan meraih piala berganda.
Beth Mead dilihat sebagai pencabar utama selepas menjaringkan enam gol untuk England dalam perjalanan mereka menjulang kegemilangan Euro di tanah air, kemenangan pertama mereka dalam kejohanan utama.
Rakan sepasukannya di England, Lucy Bronze dan Millie Bright juga telah dicalonkan, begitu juga Hegerberg, yang membantu Lyon menewaskan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Trofi anugerah yang disampaikan pada majlis penuh bintang di Teater Chatelet di tengah Paris, merupakan sagu hati buat Putellas yang kini sedang pulih daripada kecederaan lutut yang serius.
Kecederaan itu menyebabkan dia terlepas aksi Euro di England pada Julai dan bermakna dia tidak mungkin bermain sama sekali musim ini.
Putellas menjaringkan 11 gol dalam Liga Juara-Juara musim lalu ketika juara bertahan Barcelona mara ke final tetapi tewas kepada Lyon.
Ini merupakan kali keempat Ballon d'Or wanita dianugerahkan, dengan Ada Hegerberg dari Norway memenangi hadiah sulung pada 2018 sebelum bintang Amerika Syarikat Megan Rapinoe menggantikannya pada 2019.
Tiada gala Ballon d'Or pada 2020 akibat wabak itu sebelum Putellas memenanginya buat kali pertama tahun lalu selepas membantu Barca menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Wanita buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Putellas telah pun memenangi hadiah pemain terbaik UEFA pada Ogos.- AFP
(Pemain tengah FC Barcelona, Alexia Putellas menerima anugerah Ballon d'Or Wanita keduanya
semasa majlis anugerah Ballon d'Or France 2022 di Theatre du Chatelet di Paris / AFP)