(Carlos Alcaraz meraikan dengan trofi selepas menang menentang Casper Ruud dari Norway
semasa perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan Tenis Terbuka AS 2022/Fail AFP)
BARCELONA, 14 Disember- Pemain tenis perseorangan lelaki nombor satu dunia, Carlos Alcaraz akan mempertahankan gelarannya di Kejohanan ATP Barcelona 2023 pada April, umum penganjur.
Pemain Sepanyol berusia 19 tahun itu memenangi acara gelanggang tanah liat buat kali pertama tahun ini dengan menewaskan rakan senegaranya, Pablo Carreno dalam perlawanan akhir.
"Alcaraz adalah pemain pertama yang mengesahkan penyertaannya untuk edisi kejohanan akan datang," kata penganjur kejohanan dalam satu kenyataan.
Ia adalah gelaran ketiga daripada lima kejuaraan pada 2022, dengan kemuncaknya ialah Terbuka Amerika Syarikat.
Dia mengakhiri tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia, pemain termuda yang menduduki ranking teratas sejak 1973.
“Carlos Alcaraz adalah pemain unik, dengan banyak karisma dan juga berseronok di gelanggang,” kata pengarah kejohanan David Ferrer dalam satu kenyataan.
“Kita bercakap tentang pemain nombor satu dunia yang menjadi pemain termuda dalam sejarah mencapainya.
"Dia masih mempunyai seluruh kerjaya di hadapannya untuk terus meningkat dan berkembang sebagai pemain. Dia akan menjadi penguasa gelanggang yang hebat untuk 10 tahun akan datang, tanpa ragu-ragu," tambah Ferrer. -AFP
(Alcaraz pertahan gelaran ATP Barcelona pada 2023/Fail AFP)