fb fb fb fb fb

Alcaraz kembali ke takhta nombor 1 dunia, tempah slot separuh akhir ATP Finals

Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz / REUTERS

TURIN, 14 November - Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz mengesahkan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia dengan kemenangan 6-4, 6-1 ke atas Lorenzo Musetti dalam aksi Kumpulan Jimmy Connors di ATP Finals pada Khamis.

Kemenangan itu turut memastikan Alex De Minaur mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Taylor Fritz.

Alcaraz menyingkirkan dua wakil Itali sekali gus menamatkan cabaran Musetti serta menggagalkan peluang Jannik Sinner untuk merampas kembali ranking nombor satu, meskipun tidak beraksi pada tahap terbaik dalam kemenangan ketiga peringkat round robin itu.

Pemain berusia 22 tahun yang pernah menutup musim di ranking teratas pada 2022, melalui musim terbaik dalam kariernya apabila mara ke tiga aksi akhir Grand Slam, menjuarai Terbuka Perancis French dan Terbuka AS serta tewas dalam final Wimbledon, semuanya berdepan Sinner.

Alcaraz yang mengutip lapan kejuaraan sepanjang musim ini, kekal di landasan tepat untuk meraih gelaran ATP Finals pertamanya selepas mengatasi tentangan sengit Musetti.

Selepas perlawanan, Alcaraz menyifatkan pencapaiannya menamatkan tahun sebagai pemain nombor satu dunia sebagai amat bermakna.

“Ini satu pencapaian besar. Memang ini sasaran saya, menamatkan tahun sebagai pemain nombor satu. Selepas menang perlawanan ini dan mengetahui saya berjaya capai matlamat musim ini, ia memang sangat bermakna. Saya rasa saya bermain tenis pada tahap terbaik. Jadi saya teruja untuk teruskan momentum ini, lebih-lebih lagi dengan aksi separuh akhir ATP Finals menanti” katanya.

Dia turut menegaskan fokusnya kini adalah untuk mara ke pentas akhir.

“Kejohanan ini sangat penting bagi saya. Saya memang teruja dapat layak ke separuh akhir, memberi peluang kepada diri sendiri bermain satu lagi separuh akhir di sini dan, kalau boleh, mara ke final. Sebahagian daripada tugas sudah selesai, selebihnya masih berjalan. Saya sangat bersemangat untuk teruskan.”-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE