fb fb fb fb fb

Perancis sah ke Piala Dunia tumpaskan Ukraine 4-0

FOTO REUTERS

PARIS, 14 November - Perancis mengesahkan slot ke Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut selepas menang selesa 4-0 ke atas Ukraine dalam aksi di laman sendiri, Khamis.

Les Bleus yang tidak tewas dalam mana-mana perlawanan kelayakan Euro atau Piala Dunia sejak 2019 turut mengesahkan kedudukan sebagai pasukan pilihan apabila undian bagi kejohanan yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dibuat pada 5 Disember nanti.

Edisi kali ini juga akan menjadi kempen terakhir buat ketua jurulatih, Didier Deschamps.

Ketua pasukan, Kylian Mbappe, menjaringkan dua gol pada babak kedua dalam perlawanan yang penuh emosi, bertepatan dengan ulang tahun ke-10 insiden serangan di Paris yang mengorbankan 130 nyawa.

Michael Olise dan Hugo Ekitike turut mencetak nama selaku penjaring dalam perlawanan tersebut.

Perancis kini mengungguli Kumpulan D Eropah dengan 13 mata selepas lima perlawanan, jauh meninggalkan Iceland di tempat kedua dengan jurang enam mata yang tidak lagi dapat dikejar.

Mereka akan menamatkan aksi kelayakan menentang Azerbaijan yang berada di tangga tercorot pada Ahad.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE