fb fb fb fb fb

Aksi persahabatan bantu bina persefahaman pemain

Ahmad Syihan Hazmi / BERNAMA

CYBERJAYA, 30 Mei- Perlawanan Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil pada 10 Jun depan, amat penting buat skuad kebangsaan.

Perkara itu diakui penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi.

Beliau menyifatkan pertembungan menentang pasukan di ranking ke-109 dunia itu juga merupakan aksi kemuncak buat Harimau Malaya.

Selain itu katanya, perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam turut membantu meningkatkan keyakinan pemain untuk berdepan Vietnam nanti.

"Namun, fokus utama kami adalah pada perlawanan sebenar pada 10 haribulan. Setiap perlawanan persahabatan yang diharungi adalah penting untuk membantu para pemain membina keyakinan tinggi menjelang perlawanan tersebut", katanya selepas acara menandatangani memorandum kerjasama Jenama Sukan FAT.

Tambah Syihan, menentang pasukan ranking lebih tinggi tetap penting untuk membina pengalaman, menguji kekuatan sebenar pasukan serta menyesuaikan diri dengan tekanan dalam perlawanan kompetitif.

"Seperti yang dikatakan sebelum ini, walau apapun, kita akan tetap berdepan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi daripada pasukan negara.

"Namun, situasi itu dijadikan sebagai satu pengalaman berguna untuk menghadapi perlawanan sebenar kerana sasaran utama adalah layak ke Piala Asia.

"Setiap perlawanan itu berdasarkan pasukan lawan yang bakal dihadapi, sebagai persediaan untuk membina keyakinan diri", katanya.

Penjawa gawang berusia 29 tahun itu turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak terhadap skuad negara untuk menghadapi sebarang bentuk kejohanan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID