fb fb fb fb fb

Akhir Piala Malaysia: JDT buru gelaran juara 'treble' berdepan Selangor

(FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS)

KUALA LUMPUR, 26 November - Menjelang aksi saingan akhir Piala Malaysia malam ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai satu misi sahaja apabila turun berdepan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, iaitu menjuarai trofi berprestij ini, sekali gus menjulang kejuaraan 'treble' buat julung kalinya.

Namun, persoalannya, adakah Selangor FC, juara 33 kali Piala Malaysia, mampu menghalang hajat skuad Harimau Selatan itu malam ini?

Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata memenangi Piala Malaysia adalah penting buat pasukannya biar pun sudah menjulang trofi Liga Super dan Piala FA musim ini.

Namun pengendali kelahiran Argentina itu mengakui, Selangor yang dibimbing bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak boleh dipandang mudah.


(Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya
Petaling Jaya, September lepas dengan keputusan 1-1/ Foto BERNAMA)

Di bawah kendalian Cheng Hoe, The Red Giants mempamer peningkatan di posisi pertahanan dan serangan selain memiliki taktikal yang berkualiti ketika 'set-piece' bola mati.

Justeru, Bidoglio menjelaskan pertemuan malam ini pastinya bukan mudah, namun JDT tetap gembira menyambut cabaran 'istimewa' daripada Selangor, yang dalam misi memburu kejuaraan ke-34 dalam sejarah Piala Malaysia.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas dengan keputusan 1-1.

Media Baharu