fb fb fb fb fb

Akaun Satelit Sukan, fokus bangunkan industri sukan



PUTRAJAYA, 27 Januari- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan Akaun Satelit Sukan yang bakal menjadi kayu ukur kepada sumbangan sebenar industri sukan kepada ekonomi negara.

Dalam masa sama membekalkan data bagi memudahkan perancangan mengenai fokus pembangunan sukan dalam konteks ekonomi.

"Dengan adanya Akaun Satelit Sukan, kita dapat buktikan kepada Kementerian Kewangan dan (Unit Perancang Ekonomi) bahawa peruntukan yang disalurkan kepada kementerian bukan bersifat perbelanjaan satu hala sahaja," kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun 2022 kepada warga KBS di Putrajaya, hari ini.

"Ini juga merupakan pelaburan dan memberi pulangan langsung kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan pembangunan ekonomi negara," katanya lagi.

Tambahnya, Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030), kini dalam fasa semakan akhir untuk dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Visi tersebut mengandungi enam teras utama iaitu pembudayaan sukan, kegemilangan sukan, pembangunan bakat, hab sukan, industri sukan dan profesionalisme sukan.

VSN 2030 memetakan perancangan 10 tahun Malaysia dengan memperkasakan lagi polisi demi pembangunan industri sukan yang lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif.

Media Baharu