fb fb fb fb fb

AFCON: Seko Fofana cipta gol dalam masa 4 minit, tewaskan Guinea-Bissau

Foto AFP

ABIDJAN, 14 Januari- Ivory Coast pamer aksi cemerlang dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas berjaya menewaskan Guinea-Bissau 2-0, awal pagi tadi.

Tirai jaringan dibuka seawal minit ke-4 oleh Seko Fofana meletakkan pasukan tuan rumah selesa di hadapan.

Fofana yang kini berpangkalan bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr melepaskan satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Ouparine Djoco akibat kecuaian pertahanan.

Stadium Olimpik Ebimpe, Abidjan itu sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong Ivory Coast apabila jaringan kedua tercipta daripada Jean-Philippe Krasso pada babak kedua.

Keputusan itu sekali gus meletakkan skuad Gajah merampas ketiga-tiga mata dalam pertemuan Kumpulan A.

"Kami telah menunggu detik ini untuk masa yang sangat lama. Kami tidak jatuh ke dalam sebarang perangkap, kami memenangi permainan dan walaupun tidak semuanya sempurna, kami sangat gembira."

“Kami akan terus bekerja dengan rendah hati dan cuba membetulkan kesilapan kecil yang kami lakukan, tetapi saya fikir kami bermain dengan baik.

"Kami sangat berbesar hati kerana telah memberikan semua orang yang datang ke sini sesuatu untuk dilaungkan serta semua orang yang menonton kami di televisyen," kata Fofana.

Bagaimanapun, satu punca kekecewaan bagi tuan rumah ialah hanya 36,858 peminat sahaja yang hadir menyaksikan permainan di dalam stadium yang berkapasiti 60,000 orang, dengan tiket dijual antara 5,000 dan 15,000 franc CFA ($8-25).

"Daripada apa yang saya dapat lihat stadium kelihatan penuh. Kami mendapat sokongan yang hebat," tegas Fofana.

Para peminat yang berada di sana telah dihiburkan dengan upacara pembukaan yang meriah, dihiasi lampu berwarna dan muzik rancak selain persembahan daripada artis tempatan..

Pembukaan Piala Negara-Negara Afrika itu menyaksikan kehadiran Presiden FIFA, Gianni Infantino, bos bola sepak Afrika, Patrice Motsepe dan Presiden veteran Ivory Coast, Alassane Ouattara, bangga mengisytiharkan negara itu sebagai "sebuah negara bola sepak".

Legenda Ivory Coast, Didier Drogba turut hadir di Abidjan.

Ivory Coast menyasarkan untuk menjadi tuan rumah pertama yang menjulang trofi, sejak Mesir menewaskan menerka menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi akhir pada 2006.

Tuan rumah tidak pernah tewas dalam perlawanan pembukaan AFCON sejak Burkina Faso pada 1998 dan yakin dengan petunjuk positif skuad Gajah itu.

Ivory Coast diundi bersama Nigeria, Guinea-Bissau dan Equatorial Guinea dalam Kumpulan A untuk edisi AFCON kali ini. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM