RABAT, 23 Disember- Bintang Liga Perdana Inggeris, Mohamed Salah dan Lyle Foster, muncul wira apabila membantu Mesir dan Afrika Selatan memulakan kempen Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan kemenangan di Maghribi, awal pagi Isnin.
Kapten Mesir, Salah, menjaringkan gol kemenangan pada minit pertama masa tambahan untuk memastikan juara tujuh kali itu menewaskan Zimbabwe 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Agadir.
Terdahulu di Marrakesh, penyerang Burnley, Lyle Foster, meledak gol pada minit ke-79 bagi menghadiahkan Afrika Selatan kemenangan 2-1 ke atas Angola.
Keputusan tersebut membuka laluan kepada pertembungan penentuan kedudukan teratas kumpulan antara Mesir dan Afrika Selatan di Agadir pada Jumaat ini.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu tiga kali dalam sejarah AFCON, dengan Mesir mencatat dua kemenangan.
Mesir yang dikejutkan dengan gol pembukaan Zimbabwe hasil jaringan Prince Dube pada minit ke-20 terpaksa bekerja keras untuk bangkit.
Gol penyamaan hanya hadir pada minit ke-63 menerusi pemain Manchester City, Omar Marmoush.
Dalam satu lagi aksi, Afrika Selatan menguasai babak kedua menentang Angola dan Foster memastikan kemenangan selepas beberapa percubaan berbahaya termasuk gol Tshepang Moremi yang dibatalkan serta rembatan Mbekezeli Mbokazi yang menggegarkan palang gol.
Afrika Selatan terlebih dahulu mendahului menerusi Oswin Appollis pada minit ke-21 sebelum Angola menyamakan kedudukan melalui Show pada minit ke-35.
Kemenangan itu menamatkan rekod buruk Afrika Selatan yang gagal menang dalam enam perlawanan pembukaan AFCON sejak 2006, selain mengekalkan dominasi mereka ke atas Angola dengan tiga kemenangan dan dua seri dalam lima pertemuan kejohanan tersebut.
Jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos, mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan separuh masa pertama pasukannya.
“Kami menguasai perlawanan namun sedikit leka. Selepas rehat, kami meningkatkan tekanan dan pergerakan. Tshepang memberi impak besar dan menjadi ancaman,” katanya.
Dalam aksi Kumpulan A, jurulatih Mali, Tom Saintfiet, menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Zambia di Casablanca sebagai “sangat menyakitkan”.
Mali mendahului pada minit ke-61 menerusi Lassina Sinayoko, namun Zambia menyamakan kedudukan hasil tandukan Patson Daka pada masa tambahan.
“Tersasar penalti memberi kesan besar kepada emosi pasukan. Keputusan ini terasa seperti kemenangan buat Zambia dan kekalahan untuk kami,” kata Saintfiet.
Tuan rumah Maghribi kini mendahului Kumpulan A dengan tiga mata selepas menewaskan Comoros, manakala Mali dan Zambia masing-masing mengumpul satu mata.
Sebanyak empat perlawanan dijadualkan berlangsung pada Selasa, termasuk aksi Nigeria menentang Tanzania dan Senegal bertemu Botswana.- AFP