JEDDAH, 23 Disember- Napoli muncul juara Piala Super Itali selepas menewaskan Bologna 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Jeddah, awal pagi Isnin, dengan David Neres muncul wira menerusi dua jaringan.
Pemain sayap Brazil itu membuka tirai jaringan sebelum rehat separuh masa pertama apabila melepaskan rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti untuk menewaskan pertahanan Bologna, juara Piala Itali musim lalu.
Neres sekali lagi mencuri tumpuan pada separuh masa kedua apabila memintas hantaran lemah penjaga gol Bologna, Federico Ravaglia, sebelum tenang menyudahkan peluang untuk gol keduanya perlawanan tersebut.
Pemain berusia 27 tahun itu mengakhiri kempen Piala Super Itali dengan tiga gol, selepas turut menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-0 Napoli ke atas AC Milan pada aksi separuh akhir minggu lalu.
Kejayaan itu menyaksikan Napoli merangkul gelaran Piala Super Itali buat kali ketiga, selepas kali terakhir memenanginya pada 1990 dan 2014.
Pengendali Napoli, Antonio Conte, memuji komitmen anak buahnya selepas kejayaan tersebut.
“Para pemain layak menerima pujian. Mereka menunjukkan betapa mereka mahukan trofi ini untuk para penyokong, dan kami kini boleh menyambut Krismas dengan sebuah lagi piala dalam kabinet,” katanya kepada Sport Mediaset.
Sejak 2023, Piala Super Itali tidak lagi hanya membabitkan juara Serie A dan Piala Itali, sebaliknya turut disertai naib juara kedua-dua kejohanan, menjadikan format empat pasukan.
Kejohanan itu juga dijadualkan berlangsung di Arab Saudi sehingga 2029.
Napoli kini berada di tangga kedua Serie A, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Inter Milan, dan akan kembali beraksi dalam liga menentang Cremonese pada Ahad ini. Bologna pula bakal menerima kunjungan Sassuolo.- AFP