LONDON, 23 Disember- Penyerang Liverpool, Alexander Isak, terpaksa berehat panjang selepas kelab itu mengesahkan pemain berusia 26 tahun tersebut menjalani pembedahan akibat kecederaan buku lali yang turut melibatkan patah tulang fibula.
Isak, yang menyertai Liverpool dari Newcastle pada September lalu dengan nilai perpindahan rekod Britain sebanyak £125 juta, mengalami kecederaan tersebut ketika menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Pemain kebangsaan Sweden itu tercedera selepas dibentes oleh pertahanan Tottenham, Micky van de Ven, sebelum terpaksa dikeluarkan sejurus selepas menjaringkan gol.
Dalam satu kenyataan rasmi, Liverpool mengesahkan Isak telah berjaya menjalani pembedahan dengan selamat.
“Alexander Isak hari ini telah berjaya menjalani pembedahan terhadap kecederaan yang dialaminya pada Sabtu lalu,” menurut kenyataan kelab.
“Pemeriksaan mendapati kecederaan tersebut melibatkan buku lali serta patah tulang fibula. Proses pemulihan akan diteruskan di Pusat Latihan AXA, namun tiada tempoh masa ditetapkan untuk kepulangannya.”
Kecederaan ini merupakan satu lagi tamparan buat Isak yang masih bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik sejak menyertai The Reds. Beliau hanya menjaringkan tiga gol dalam 16 penampilan setakat ini.
Isak sebelum ini berdepan masalah kecergasan akibat pertikaian dengan Newcastle yang menjejaskan persiapan pra-musimnya, sebelum musimnya turut terganggu dengan kecederaan pangkal paha.
Ketiadaan Isak memberi cabaran besar kepada pengurus Liverpool, Arne Slot, lebih-lebih lagi dengan Mohamed Salah kini beraksi di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), manakala Cody Gakpo masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot.
Situasi itu menyaksikan Slot kini hanya bergantung kepada Hugo Ekitike, yang mencatat lima gol dalam empat perlawanan terakhir, serta Federico Chiesa, yang jarang diturunkan.
Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, menyifatkan kecederaan Isak sebagai satu nasib malang.
“Ia satu tamparan besar. Liverpool sebenarnya sudah kekurangan seorang penyerang. Ini benar-benar malang buat Isak, dan kita baru mula melihat kualiti sebenar beliau dalam jersi Liverpool,” katanya kepada Sky Sports.
Liverpool kini berada di kedudukan kelima liga selepas mencatat lima perlawanan liga tanpa kalah, meskipun pertahanan gelaran mereka sebelum ini terjejas akibat prestasi tidak menentu.
Kecederaan Isak turut mencetuskan spekulasi bahawa Liverpool mungkin akan mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan Januari, dengan pemain sayap Bournemouth, Antoine Semenyo, antara nama yang dikaitkan.
Situasi ini juga dijangka mempengaruhi keputusan kelab untuk mengekalkan Mohamed Salah, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi.- AFP