KUALA LUMPUR, 11 September - Skuad hoki lelaki kebangsaan gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan, terbaharu tewas 1-8 kepada India pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China.
Kekalahan itu meletakkan Malaysia dalam situasi sukar untuk mara ke separuh akhir apabila menduduki tempat tercorot di tangga keenam dengan satu mata hasil keputusan seri 2-2 dengan Pakistan pada Isnin lepas.
Ketua jurulatih Speedy Tigers Sarjit Singh berharap skuad negara mampu bangkit menentang Jepun ESOK.
“Kami bermula dengan kurang baik, melepaskan tiga gol mudah dalam masa singkat. Pemain seperti terlalu menghormati lawan dan hilang keyakinan diri pada awal permainan. Apabila kami ketinggalan 0-3 moral pemain juga menurun. Strategi bertahan tidak berfungsi dengan baik.
“India lebih baik dari segala aspek dan persembahan pasukan kita agak mengecewakan. Bukan mudah berada dalam situasi seperti ini. Jurulatih dan pemain perlu ambil tanggungjawab bersama untuk bangkit pada perlawanan esok,”katanya menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM). BERNAMA