KUALA LUMPUR, 21 April – Acara sukan yang dipertandingkan di pentas Olimpik akan menjadi asas utama dalam penentuan acara yang bakal dipertandingkan pada Temasya Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan oleh Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pendekatan itu selaras dengan persefahaman bersama Thailand dan Singapura selaku tuan rumah bagi dua edisi Sukan SEA selepas Malaysia, dalam usaha memastikan kontinjen negara-negara Asia Tenggara lebih kompetitif di peringkat global.
“Cuma sama ada kita nak tambah acara atau tidak, itu bergantung sangat kepada bajet yang kita ada. Seperti dimaklumkan, Sukan SEA 2027 akan melibatkan empat kawasan iaitu Kuala Lumpur, Kuching, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Jadi ia sangat bergantung kepada kemampuan kewangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di ibu negara, hari ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh pada tahun 2027, selepas kali terakhir menganjurkannya pada edisi ke-29 pada tahun 2017.
Penekanan terhadap acara Olimpik dijangka memberi ruang kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi dan memperkukuh persiapan atlet ke temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.