ROME, 15 Julai - Kapten Croatia, Luka Modrić, telah menandatangani kontrak selama setahun dengan AC Milan pada usia 39 tahun, menurut kenyataan kelab Itali itu pada Isnin.
Minggu lalu, jurulatih Milan, Massimiliano Allegri berkata pemenang Ballon d'Or 2018 itu akan menyertai San Siro dari Real Madrid selepas Piala Dunia Kelab.
Modrić, yang akan mencecah usia 40 tahun pada bulan September, menyertai Madrid dari Tottenham pada tahun 2012 dan telah dikaitkan dengan perpindahan ke Itali sejak awal Jun, selepas mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan gergasi Sepanyol itu selepas tamat kontraknya.
"AC Milan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Luka Modrić telah menandatangani kontrak dengan kelab sehingga 30 Jun 2026, dengan pilihan lanjutan selama setahun hingga 30 Jun 2027," kata juara Serie A sebanyak 19 kali itu.
Modrić berada di Milan awal Isnin untuk menjalani ujian perubatan tetapi menurut media Itali, beliau hanya akan mula berlatih bersama rakan sepasukan pada bulan Ogos.
"Saya sangat gembira berada di sini untuk memulakan bab baharu dalam kerjaya saya," kata Modrić dalam satu video di platform media sosial kelab itu.
Allegri kembali mengetuai Milan selepas memimpin kelab itu merangkul kejuaraan Serie A pada tahun 2011 semasa tempoh pertamanya antara 2010 dan 2014.
Perlawanan pertama mereka untuk musim baharu ialah dalam Piala Itali pada 17 Ogos.- AFP