fb fb fb fb fb

AC Milan rampas takhta Inter Milan, julang piala Serie A

MILAN, 23 Mei- AC Milan berjaya merampas gelaran juara Serie A pertama mereka selepas 11 tahun daripada pasukan Inter Milan.

Ia susulan kejayaan menewaskan Sassuolo 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Mapei awal pagi tadi.

Milan hanya memerlukan satu mata untuk menjulang Scudetto dan kemenangan tersebut dizahirkan hasil jaringan dua gol Olivier Giroud dan satu daripada Franck Kessie pada babak pertama permainan.

Pengurusnya, Stefano Pioli menamatkan saingan dua mata di depan Inter, yang menewaskan Sampdoria 3-0 di San Siro tetapi gagal mempertahankan kejuaraan untuk edisi kali ini.

Skuad Rossoneri kembali menerajui bola sepak Itali selepas mengharungi tempoh sukar akibat masalah kewangan sejak memenangi gelaran liga pada tahun 2011.

"Kami berhak dengan kejayaan ini selepas menanam keyakinan yang ia boleh dicapai. Pemain-pemain saya tidak pernah berputus asa, mereka semua menakjubkan.

"Saya gembira kerana dapat melihat pemain-pemain juga menikmatinya," kata Pioli.

Bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang kembali ke Milan pada tahun 2019 turut bersama pasukan itu ketika kali terakhir mereka menjulang Scudetto.


(Bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic menzahirkan kegembiraan menjulang piala Serie A bersama pasukan selepas perlawanan/AFP)

"Ketika kembali ke sini saya kata yang saya akan membawa Milan kembali ke puncak dan memenangi gelaran. Ini adalah kumpulan pemain hebat.

"Kami bekerja keras dan akhirnya menikmati kejayaan ini. Dua tahun lalu keadaannya cukup sukar," kata Ibrahimovic. - AFP

Media Baharu