fb fb fb fb fb

Abrahamsen menang peringkat 11 Tour de France

Foto AFP

TOULOUSE, 17 Julai - Jonas Abrahamsen dari Norway memenangi peringkat ke-11 Tour de France di Toulouse pada Rabu, manakala juara bertahan Tadej Pogacar tidak mengalami kecederaan serius walaupun terjatuh 4km sebelum garisan penamat.

Pogacar terjatuh selepas melanggar roda belakang pelumba lain, namun pencabarnya, Jonas Vingegaard dan Remco Evenepoel, menunjukkan semangat kesukanan apabila menunggu pelumba Slovenia itu mengejar semula selepas bangun dan menyambung perlumbaan.

Ben Healy dari Ireland mengekalkan jersi pendahulu.

“Saya sedikit lebam, pernah alami hari yang lebih teruk, tapi ya, kejadian itu memang tak dijangka,” kata Pogacar.

Pogacar memberitahu dia sangat cemas apabila Tobias Johannessen dari Norway melintasi di hadapannya.

“Dia betul-betul potong jalan saya. Saya nampak kepala saya menuju ke tepi jalan dan risau akan cedera. Mujur saya cuma kulit sedikit luka.” kata juara tiga kali itu.

Johannessen, rakan sepasukan pemenang peringkat Abrahamsen dari pasukan Uno-X, memohon maaf atas insiden itu.

“Saya benar-benar minta maaf atas apa yang berlaku,” tulisnya di X.

“Saya cuba ikut satu pergerakan dan saya sedar saya terlalu rapat,” tambahnya. “Saya lakukan kesilapan... saya harap dia berada dalam keadaan sebaik mungkin selepas jatuh begitu.”

Pogacar berkata insiden itu mungkin menjejaskannya dalam peringkat pendakian hari Khamis.

Doktor pasukan kemudian mengesahkan Pogacar tidak mengalami kecederaan serius.

Healy mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan pada hari pertama dia mengenakan jersi kuning, manakala Pogacar kekal di tempat kedua, 29 saat di belakang, dan Evenepoel di tempat ketiga, satu minit ketinggalan.

Pendaki kecil dari Perancis, Lenny Martinez, kini memakai jersi polka dot Raja Bukit apabila perlumbaan menuju ke Pyrenees dan akan menjadi tumpuan peminat tuan rumah sepanjang hujung minggu dengan kehadiran penonton yang dijangka luar biasa.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH