KUALA LUMPUR, 8 Februari- Atlet para negara, Abdul Latif Romly dan bekas penerjun negara Leong Mun Yee menerima pengiktirafan yang membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan hari ini.
Abdul Latif menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo, tahun lalu sekali gus mengulangi pencapaian yang diraih di temasya sama di Rio 2016.
Manakala Leong Mun Yee telah meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuklah menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa dalam penyertaan di Sukan SEA.
Mun Yee yang berasal dari Ipoh, Perak turut memenangi satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Terjun Dunia FINA dan satu perak di Piala Dunia FINA.
Beliau turut membuat lima kali penampilan di pentas Sukan Olimpik bermula di Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.