fb fb fb fb fb

Aaron Chia, Soh Wooi Yik teraju skuad Piala Thomas negara - BAM

Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 12 April- Cabaran Piala Thomas negara akan diterajui oleh bekas juara dunia Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Beregu utama negara itu akan mengetuai kempen Malaysia di Chengdu, China, dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Perkara itu diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan hari ini yang turut menyenaraikan pemain lain bagi kejohanan itu

Selain itu, persoalan mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas 2024 juga terjawab, apabila namanya turut tersenarai.

Berita baik juga buat peseorangan negara Tze Yong, yang bergelut dengan kecederaan apabila disahkan memperoleh tempatnya dalam skuad.

BAM juga telah memilih Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh untuk kategori perseorangan, manakala Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri akan mewakili Malaysia dalam acara beregu.

Untuk Piala Uber, BAM telah menamakan pemain perseorangan berpengalaman Goh Jin Wei dan K. Letshanaa dalam pasukan.

Mereka akan disertai Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee, dan Chan Wen Tse.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky, menegaskan pemilihan pemain dibuat selepas perbincangan menyeluruh dengan barisan kejurulatihan.

Beliau yakin pemain terpilih tidak sabar beraksi dan pasti akan memberikan yang terbaik di China.

Menurutnya, beberapa pemain muda dalam skuad Piala Thomas dan Piala Uber juga akan berazam untuk membuktikan diri mereka dan memberikan persembahan yang mantap.

Malaysia yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan edisi 2024 itu diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Bagi saingan wanita pula, pasukan negara bakal berdepan tugasan berat dalam saingan Piala Uber 2024 apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM