fb fb fb fb fb

28 pasukan berentap di RMSIR 2025, ATM Uranus sasar piala

Foto Bernama

KLANG, 15 November - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Uranus menyasarkan kedudukan tiga terbaik di kejohanan Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025.

Skipper ATM Uranus Pegawai Waran 1 Ahmad Fakhrizan Deraman berkata beliau dan 13 anak kapal tekad memperbaiki kedudukan tempat keempat keseluruhan yang diperoleh pada edisi tahun lepas.

“Lawan pada tahun ini boleh dikatakan agak kuat berbanding edisi sebelum ini kerana semua yang mengambil bahagian berpengalaman termasuk pernah bergelar juara.

“Walaupun tahun ini kita dibarisi ramai kru baharu, tetapi itu bukan masalah kepada saya kerana yang penting ialah kerjasama ahli pasukan,” katanya kepada Bernama.

Sebanyak 28 pasukan dari pelbagai negara berentap dalam kejohanan Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) kali ke-35 bermula hari ini.

Perlumbaan selama sembilan hari itu bermula dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Pangkor, Perak sebelum ke Pulau Pinang dan dijadualkan menamatkan saingan di Pulau Langkawi, Kedah.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah juga berkenan menyertai kejohanan tahun ini.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH