
KANGAR, 7 Januari -Lima individu yang terlibat dalam kes kubur besar Wang Kelian mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kangar, hari ini.
- Lima warga Thailand mengaku bersalah membabitkan kes kubur besar Wang Kelian di Mahkamah Tinggi Kangar.
- Semua tertuduh dihukum penjara lima tahun bermula tarikh tangkapan.
- Empat tertuduh diekstradisi dari Thailand pada 2023; seorang ditahan di Johor pada 2022.
- Mereka didakwa dan disabitkan bawah Seksyen 26H Akta ATIPSOM 2007 kerana melindungi migran.
Kesemua tertuduh, yang merupakan warganegara Thailand, dijatuhi hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh mereka ditahan pihak berkuasa.
Daripada lima tertuduh, empat individu dibawa masuk ke Malaysia melalui proses ekstradisi antara kerajaan Thailand dan Malaysia pada tahun 2023.
Manakala seorang lagi ditahan oleh pihak berkuasa tempatan di Johor pada tahun 2022.
Pengakuan bersalah dibuat selepas fakta kes dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap kesemua tertuduh di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana kesalahan melindungi migran yang beroperasi di kem haram di Wang Kelian sekitar tahun 2014.
Kelima-lima tertuduh, termasuk empat yang diekstradisi dari Thailand, diwakili oleh peguam V. Rajadevan dan Fatin Hayati Abdul Rahman.