(Jelajah mesra wanita calon wanita UMNO pada Program Mesra Usahawan Batu Pahat 2022/Foto Facebook Mastura Mohd Yazid)
JOHOR BAHRU, 28 Februari - Peningkatan jumlah calon wanita pada penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor baru-baru ini membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak memandang keupayaan calon dari segi jantina.
Apa yang penting, pemilihan calon terbaik mampu memenangi hati pengundi di tempat kawasan mereka bertanding dan mereka layak menjadi wakil rakyat, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
"Meletakkan hampir 70 peratus calon wanita menunjukkan keyakinan parti tentang kemampuan golongan tersebut yang memberi kemenangan kepada parti.
"Peningkatan calon wanita kali ini sekali gus membuktikan mereka layak menjadi wakil rakyat di setiap DUN yang bakal diwakili oleh mereka.
"Zaman telah berubah, malah peranan wanita kini terbukti apabila mereka boleh memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat," katanya kepada RTM ketika mengadakan lawatan kerja ke Malaysia Institute of Industrial Technology (UNIKL MITEC), pada Ahad.