fb fb fb fb fb

Calon DUN Bukit Batu PKR positif COVID-19

(Foto Facebook Chiong Sen Sern)

JOHOR BAHRU, 27 Februari - Kempen bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor baru memasuki hari ketiga. Namun nasib tidak menyebelahi calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu apabila Arthur Chiong Sen Sern disahkan positif COVID-19 setelah melakukan Ujian Pantas Antigen (RTK).

Chiong berkata beliau akan menjalani kuarantin kendiri seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mohon jika ada yang bertemu dengan saya secara fizikal dalam beberapa hari yang lepas supaya turut menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19.

"Saya memohon maaf kerana terpaksa membatalkan segala perancangan program yang telah diaturkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebelum memulakan sebarang program, beliau akan melakukan ujian kendiri secara harian sebagai langkah keselamatan berjaga-jaga.

Katanya, meski pun beliau perlu menjalani kuarantin kendiri namun pasukan kempennya akan meneruskan kesemua aktiviti yang telah dirancang di kawasan DUN berkenaan.

Tidak mahu ketinggalan, Chiong berkata beliau akan meneruskan aktiviti kempen secara dalam talian dan digital, termasuk menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan saluran media sosial yang lain.

“Sama-samalah kita berdoa agar kesemua mereka yang sedang mengalami COVID-19 diberikan kesembuhan segera.

"Semoga diberikan kekuatan buat petugas barisan hadapan KKM yang terus menanggung bebanan dalam menguruskan wabak ini. Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Jumpa anda dalam beberapa hari lagi!,” katanya.


(Prose sanitasi di Bilik Gerakan DUN Bukit Batu/Foto Facebook Chiong Sen Sern)

Chiong dalam hantaran Facebooknya berkata, demi keselamatan dan kesihatan bersama, beliau telah memanggil pasukan sanitasi untuk melakukan aktiviti sanitiasi di Bilik Gerakan DUN Bukit Batu, pagi tadi.

Pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu akan menyaksikan antara Chiong dan Lee Ming Wen (Parti Warisan), Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) dan Suppayah Solaimuthu (Barisan Nasional).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Media Baharu