JOHOR BAHRU, 28 Februari - Penggunaan platform media sosial menjadi alternatif utama bagi kebanyakan parti yang bertanding untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor.
Terbaru, TikTok digunakan sebagai medium untuk mengatur strategi berkempen mendekati pengundi kerana applikasi itu semakin popular dalam kalangan generasi masa kini tanpa mengira usia.
Laman TikTok menerusi akaun Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) ternyata sarat dengan promosi bagi meraih perhatian pengundi khususnya anak muda.
Turut kelihatan, beberapa calon bertanding seperti Calon Dewan Negeri Larkin, Hairi Md Shah, dan Calon Dewan Negeri Semerah, Fared Mohd Khalid.
Malah Calon Dewan Negeri Benut, Datuk Hasni Mohamad, juga menggunakan sebaik mungkin platform itu.
Di Tiktok Barisan Nasional (BN) pula mereka memuat naik video senarai calon yang akan bertanding untuk 12 Mac nanti.
Manakala Parti Bangsa Malaysia menjadikan TikTok untuk berkempen dengan memaparkan pesanan calon DUN Tiram, Mohd Azmi Ali, diikuti dengan slogan, "Dari Tiram untuk Tiram."
Parti Pakatan Harapan Johor menerusi laman tiktok DAP Johor, menyaksikan jentera parti sedang memasang kain rentang dan bendera beserta mesej daripada calon bertanding.
Manakala Calon PN DUN Larkin, Zulkifli Bujang, turut menyampaikan mesej peribadinya.
Tidak ketinggalan, parti MUDA menyeru Bangsa Johor yang berada di Singapura menunaikan tanggungjawab mengundi secara pos.