fb fb fb fb fb

Watak-watak berpengaruh tewas, tiada yang mustahil pada PRU15

KUALA LUMPUR, 20 November- Nama-nama besar arena politik tanah air terpaksa menerima hakikat tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalami kekalahan yang dilihat mengejutkan termasuk calon popular, Khairy Jamaludin di Sungai Buloh.

Selain itu, PRU kali ini turut menyaksikan tamatnya legasi 40 tahun keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh selepas anaknya, Nurul Izzah tewas kepada parti lawan.

Tewasnya watak-watak berpengaruh dan lama berkhidmat itu turut dialami pemimpin yang dikaitkan dengan kemelut politik negara, dua tahun kebelakangan ini.

Siapa pun tidak menyangka, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahan kerusi Parlimen Langkawi.

Tun Dr Mahathir yang memperoleh 4,566 undi tewas kepada calon Perikatan Nasional, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dengan majoriti 13,518 undi.

Juga mengejutkan, kegagalan Tengku Razaleigh Hamzah mempertahan kerusi tradisinya, Gua Musang pada penyertaan kali ke-12 beliau.

Beliau tewas dengan majoriti tipis 163 undi dengan memperoleh 21,663 undi, berbanding calon Pas, Datuk Azizi Abu Naim yang memperoleh 21,836 undi.

Satu lagi kerusi tradisi PKR yang terlepas ke tangan lawan ialah Permatang Pauh.

Kerusi itu menyaksikan penyandangnya, Nurul Izzah Anwar tewas kepada calon Perikatan Nasional, Muhammad Fawwaz Mat Jan.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut terpalit badi penolakan pengundi, selepas tewas di Parlimen Gombak kepada calon 'heavyweight' iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kerusi panas pertembungan lima penjuru itu menyaksikan Datuk Seri Azmin dihukum pengundi dengan memperoleh undi 59,538, berbanding 72,267 undi yang diperoleh Datuk Seri Amirudin.

Nama-nama besar lain yang turut kecundang termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Khalid Samad di Titiwangsa.


(Foto SPR)

Media Baharu