KUALA LUMPUR, 20 November- Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini mengubah landskap politik di Pahang.
Barisan Nasional (BN) yang menjadi peneraju pentadbiran negeri Tok Gajah selama ini, tidak memperoleh majoriti mudah.
Tidak hanya BN, parti yang bertanding seperti PN dan PH juga tidak dapat membentuk kerajaan negeri secara bersendirian kerana masing-masing tidak mempunyai majoriti mudah.
Berdasarkan keputusan rasmi di 41 kerusi DUN yang dipertandingkan, (PN) memenangi 17 kerusi, (BN) memperoleh 16 kerusi manakala (PH) lapan kerusi.
Kerusi DUN Tioman pula ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Parti-parti yang bertanding di negeri ini perlu memenangi 21 kerusi DUN, untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Berdasarkan keputusan tersebut, pembentukan kerajaan campuran perlu dibuat, sama ada gabungan daripada parti BN dan PN atau gabungan PN dan PH atau BN dan PH.
Bagi kerusi parlimen pula, menyaksikan (BN) memperoleh lima kerusi daripda 13 yang dipertandingkan.
(PN) pula memperoleh tujuh kerusi dan dua kerusi lagi milik PH.
(Foto Hiasan)
Sementara itu, situasi sama turut berlaku di Perak.
Walaupun Perikatan Nasional (PN) memenangi 26 kerusi DUN pada PRU15, ia bukan jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Menurut Timbalan Pengerusi PN Satu Perak, Razman Zakaria, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama Barisan Nasional bagi mendapat majoriti mudah kerusi DUN.
Sebagaimana pendirian pucuk pimpinan, beliau menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
PH memiliki 24 kerusi DUN manakala BN menang sembilan kerusi DUN.