fb fb fb fb fb

Kekalahan BN isyarat supaya parti berani berubah - Onn Hafiz

(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

JOHOR BAHRU, 20 November- Barisan Nasional digesa berani laksana perubahan termasuk kepimpinan parti.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam reaksi berhubung keputusan PRU15 berkata, rakyat telah menyatakan pandangan dan pilihan mereka sehingga menyebabkan BN mengalami kekalahan terburuk dalam penyertaannya pada pilihan raya umum.

Perubahan itu, katanya termasuk mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.

Onn Hafiz yang juga merupakan Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor turut menasihati Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar berjiwa besar untuk melepaskan jawatan sebagaimana dilakukan kepimpinan terdahulu apabila tewas dalam PRU14.

Katanya, peletakan jawatan tersebut mampu memberi ruang kepada UMNO, memulih dan memperkuat parti.

"Semua pemimpin UMNO perlu kembali mendengar suara rakyat, dan perubahan perlu dilakukan bagi memastikan masa depan UMNO cerah.

"Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, yang mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah,"katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

PRU15 menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional memenangi hanya sembilan kerusi di Johor, manakala tidak memenangi sebarang kerusi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.


(Datuk Onn Hafiz Ghazi (KIRI) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

Media Baharu