fb fb fb fb fb

Warga Kepala Batas pilih Dr Siti Mastura, Reezal Merican akur tewas

Foto Media Sosial

KEPALA BATAS, 20 November- Perikatan Nasional (PN), berjaya memecah kubu kuat Barisan Nasional (BN) selama 48 tahun di Kepala Batas menerusi calon, Dr Siti Mastura Muhammad.

Dr Siti Mastura memperoleh majoriti sebanyak 2,867 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menguasai kerusi itu selama dua penggal sebelum ini.

Dr Siti Mastura menyifatkan kejayaan bersejarah itu di bantu gelombang anak muda yang banyak menyokong perjuangan PN.

"Di Kepala Batas, kita ada 50 peratus pengundi muda dan kita melihat mereka ini ialah kuasa pengubah. Kita nak bawa perubahan politik anak muda, bukan politik yang kotor.

Ini adalah pilihan anak muda, politik yang sebenar, politik matang dan yang paling penting adalah semua rakyat dapat menikmati kebajikan dan kesejahteraan," kata Siti Mastura kepada RTM selepas pengumuman keputusan oleh Pegawai Pengurus Parlimen Kepala Batas (P.041), Zulkifli Rashid, di sini.

Beliau meraih keseluruhan undi sebanyak 28,604 manakala Reezal Merican memungut 25,737 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Danial Abdul Majeed dan calon Pejuang, Ustaz Hamidi Abu Hassan masing-masing mengumpul 14,213 dan 747 undi.


(Penyandang Parlimen Kepala Batas (P.041), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
merakamkan ucapan terima kasih dan akur dengan kekalahan terhadap calon PN)

Terdahulu, pada PRU14, Dr Siti Mastura yang bertanding atas tiket Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tewas kepada Datuk Seri Reezal ketika itu dengan majoriti 10,339 undi.

Sementara itu, calon BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerima kekalahan ini dengan berlapang dada.

Melalui kenyataan di laman Facebook peribadinya, beliau berkata rakyat telah menjalankan hak demokrasi memilih wakil rakyat mereka.

Beliau juga merakam ucapan tahniah kepada Dr Siti Mastura atas kemenangan tersebut dan yakin calon Perikatan Nasional itu akan meneruskan agenda membela nasib rakyat Kepala Batas.

Jelas Datuk Seri Reezal, kekalahan ini tidak akan sesekali melemahkan semangat beliau untuk terus menabur bakti kepada seluruh warga Kepala Batas.

Media Baharu