fb fb fb fb fb

Wan Saiful Wan Jan pilihan warga Tasek Gelugor

Foto FB Wan Saiful

TASEK GELUGOR, 20 November - Perikatan Nasional (PN) buat pertama kalinya menang di Parlimen Tasek Gelugor (P.042) dengan majoriti 12,252.

Ia diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tasek Gelugor, Supardi Amaludin.

Calon PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan memperoleh jumlah undi 31,116.

Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai di luar jangkaan dengan bilangan pengundi dilihat meningkat, mencecah 83.83 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Saya rasa kemenangan ini tidak akan berlaku kalau tidak ada satu gelombang dalam kalangan anak muda di Tasek Gelugor. Bagi saya kejayaan ini melambangkan kehendak rakyat di sini, pada suatu perubahan dan mereka mahukan kerajaan yang bersih dan stabil.

Bukan itu sahaja, mereka yakin dengan kepimpinan yang dibawa oleh Perikatan Nasional terutamanya yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang," kata Wan Saiful kepada RTM selepas pengumuman keputusan bagi Parlimen Tasek Gelugor.


(Foto FB Wan Saiful)

Sementara itu, calon Barisan Nasional, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor memperoleh 18,864 undi diikuti calon Pakatan Harapan, Nik Abdul Razak Nik Md Redzuan dengan 16,547 undi.

Abdul Halim Sher Jung calon Pejuang serta calon Warisan, Mohd. Akmal Azhar masing-masing mendapat 406 dan 179 undi.

Penjumlahan undi berlangsung di Pusat Pengundian Dewan Perdana Institut Kemahiran Mara, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Peratusan keluar mengundi bagi Parlimen Tasek Gelugor (P.042) adalah sebanyak 83.83 peratus daripada 80,868 pengundi berdaftar.

Media Baharu