BENTONG, 28 September- Warga Felda Sungai Kemahal, Pelangai, Bentong berharap pemantauan keselamatan dapat diperkasa bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Justeru penempatan anggota dan pondok polis baharu diperlukan selepas lebih 20 tahun perkhidmatan tersebut ditamatkan di kawasan itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Sungai Kemahal, Azhar Ahmad, penduduk terpaksa menuju ke balai polis berhampiran dengan mengambil masa kira-kira sejam dari felda berkenaan.
"Sudah hampir 20 tahun lebih tak dapat digunakan oleh sebab faktor keselamatan dari segi struktur bangunan tak selamat jadi sejak dari itu kita tidak mempunyai pondok polis dan anggota jadi sebarang yang berhubung anggota keselamatan dari segi report kita terpaksa ke balai polis yang berhampiran iaitu Balai Polis Manchis," katanya.
(Pengerusi JPKK Felda Sungai Kemahal, Azhar Ahmad)
Sementara itu, menurut peneroka, Razlan Mohd Liki pula, walau pun mempunyai pondok polis berdekatan iaitu di Felda Bukit Mendi, Bera namun laporan ditolak berikutan berlainan pentadbiran daerah.
"Kita dah melanggar daerah dah tu, tak boleh Bera, Mengkuang itu Triang punya. Kita macam mana urusan pun di Manchis," katanya,
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera.
Pemantauan dan rondaan polis juga masih dilakukan di kawasan yang mempunyai lebih 1,500 penduduk itu.
"Saya akan ambil perhatian dan kita akan minta pihak yang berwajib terutamanya PDRM membuat tindakan," katanya.