IPOH, 2 September- Wanita UMNO mengemukakan tiga nama kepada pucuk parti pimpinan berkenaan untuk mempertimbangkan calon bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Mahkota.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagaimanapun kepimpinan tertinggi UMNO akan membuat keputusan akhir calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK itu nanti.
"Kita mengharapkan yang terbaik dan kita harap siapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan itu Wanita UMNO akan sokong dan membantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon.
"...dan kalau sekiranya calon wanita kita memang amat alu-alukan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Chemor di sini.
PRK Dewan Negeri Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Negeri Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.