KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Pemilihan calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota hanya diputuskan selepas mesyuarat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan pada malam ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penentuan calon PRK Mahkota akan dilakukan pihaknya tanpa melibatkan mana-mana pihak.
"Saya ada dua mesyuarat semalam di Johor, pertama dengan Jawatankuasa UMNO dan BN. Malam tadi mesyuarat dengan BN-PH.
"Hari ini kesimpulan daripada cadangan dua mesyuarat (sebelum ini) akan dibawa (dalam mesyuarat) malam ini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di ibu negara.
Semalam, media melaporkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Mahkota di Saujana, Johor Bharu.
Mesyuarat khas itu dihadiri Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan, serta 26 ketua UMNO negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.
Sementara itu ketika mengulas berkenaan dakwaan Bersatu berhubung siasatan polis terhadap Presien parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya dilakukan secara tergesa-gesa.
Ahmad Zahid mahu semua pihak tidak mengambil sikap 'berat sebelah' dengan mengatakan kerajaan bertindak tidak adil apabila mereka disiasat.
"Kalau kena pada dia orang, katanya tergesa-gesa, kalau kena dekat saya, itu siasatan yang sangat komprehensif. Ini realiti apabila buat salah, siasatan telah dilakukan Peguam Negara mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa.
"...dulu saya didakwa sebelum siasatan selesai, itu sebab apabila saya menghadapi pertuduhan pindaan dibuat terhadap pertuduhan. Itu ertinya tidak selesai.
"...yang saya dia kata kerajaan berlaku adil, apabila kena pada mereka, dia orang kata kerajaan tak adil... double standard, janganlah," katanya berkenaan dakwaan Bersatu berhubung siasatan polis terhadap Presien parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya dilakukan secara tergesa-gesa.
Semalam Bersatu mendakwa siasatan berhubung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, dilakukan secara tergesa-gesa.
Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pendakwaan segera ke atas Muhyiddin itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.
Bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan yang menghasut berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam ucapannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.