KLUANG, 26 September- Wanita UMNO hari ini menganjurkan program bacaan yassin dan doa selamat bagi memastikan kelancaran proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, Sabtu ini.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program itu juga bertujuan memohon keberkatan untuk calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.
"Program Kasih Wanita untuk Wanita hari ini lebih menekankan unsur keagamaan. Hanya tinggal beberapa hari sebelum hari mengundi, jentera wanita tetap komited membantu calon bagi memastikan kemenangan. Terima kasih juga kepada semua jentera yang membantu di DUN Mahkota ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program itu yang diadakan di Kampung Tengah di sini.
Lebih 600 wanita hadir pada program berkenaan. Selain bacaan Yassin secara berkumpulan, program juga diselitkan dengan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada peserta yang hadir.