fb fb fb fb fb

Calon BN jalani proses pemilihan, tapisan ketat - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KLUANG, 26 September- Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota telah menjalani proses pemilihan dan tapisan yang ketat.

Pengerusi BN dan juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, beliau telah membuat penyemakan ke atas calon berkenaan dan tiada rekod yang dibawa ke mahkamah.

"Saya telah semak. Dia (Syed Hussien) tidak ada rekod dan dia tidak dibawa ke mahkamah. Mengikut laporan yang saya baca, ketika beliau umur 20-an beliau cuba membela seorang buta yang diganggu dan dipukul oleh satu kumpulan.

"Beliau (Syed Hussien) membela orang buta itu dan saya telah semak tidak ada kes polis, kes mahkamah dan berkaitan mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas berkenaan dakwaan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard mengatakan calon BN mempunyai rekod jenayah.

Dalam pada itu jentera BN terus menggandakan usaha bagi menggalakkan pengundi bagi DUN Mahkota untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada PRK Mahkota pada 28 September ini.

Menurut Ahmad Zahid, tidak terkecuali dalam usaha berkenaan ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Untuk itu jentera BN telah menjalankan beberapa usaha terutamanya oleh Menteri Besar Johor bersama-sama dengan jentera BN dan parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menentukan dan memujuk supaya mereka yang berada di luar DUN Mahkota untuk mengundi pada Sabtu ini membantu dan menyokong calon BN.

"Kempen kesedaran melalui media sosial telah dilakukan dengan mendekati 66,000 pengundi di DUN Mahkota. Kita yakin pengundi ini tidak 100 peratus balik tetapi majoriti sebahagian besar daripada mereka mempunyai kesedaran dan tanggungjawab sebagai pengundi dan warga Bangsa Johor kembali pada Sabtu ini bagi menunaikan tanggungjawab," katanya.

Pada masa sama beberapa pendekatan bukan konvensional turut dilakukan seperti memudahkan urusan di Bagunan Sultan Iskandar (CIQ) Tambak Johor yang akan dibuka sepenuhnya bagi memudahkan pengundi yang tinggal dan bekerja di Singapura untuk mengundi bagi PRK Mahkota.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI