KLUANG, 26 September- Pengundi India bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor diingatkan agar berfikiran matang dalam memilih wakil mereka pada Sabtu ini.
Presiden MIC, Tan Sri A Vigneswaran, menegaskan saranan tersebut penting bagi memastikan kesinambungan Barisan Nasional (BN) di DUN Mahkota dapat diteruskan.
Semua sayap jentera parti MIC telah digerakkan untuk membantu calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah. Jelas beliau ia sebagai penghargaan kepada usaha Kerajaan Johor yang sentiasa menjaga kebajikan masyarakat India.
"Kami juga telah merangka strategi yang tepat, dan mengenali pengundi dengan baik adalah aspek yang sangat penting dalam usaha meraih undian," katanya.
Vigneswaran juga menekankan keperibadian calon yang mesra dan prihatin terhadap semua lapisan masyarakat seharusnya menjadi alasan kukuh bagi pengundi India untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada hari mengundi.
"Calon BN memiliki kelebihan sebagai seorang pemuda yang aktif dan tidak angkuh. Saya yakin apabila saya mendengar orang bercakap mengenai dia sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, mereka menghargai sikap ramah mesranya dengan semua kaum," katanya.
Beliau ditemui media selepas menyantuni komuniti India di Dewan Cylonese, Jalan Hj Manan, di sini, malam tadi, yang mana beliau meluangkan masa bersama lebih 500 anggota komuniti yang hadir pada majlis tersebut.