JOHOR BAHRU, 3 Mac - Pelaksanaan undi 18 buat julung kalinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor bakal memberi dimensi baharu dalam sistem demokrasi negara.
Ketua Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Nor berkata golongan muda sekarang ialah golongan bermaklumat.
Menurutnya, umur 18 tahun sudah boleh dianggap berupaya membuat keputusan yang matang dan rasional mengenai kepentingan masa depan negara.
"Di negara ini, syarat kelayakan berdasarkan had umur menetapkan 18 tahun sebagai umur kelayakan dan dianggap rakyat umur dewasa. Jadi, baiklah dirangkumkan golongan muda remaja dalam proses undi kita. Dasar dalam negara nanti akan dikembangkan dengan merangkumkan pengundi 18 ini kerana mereka juga ada kepentingan tersendiri tentang belajar, kerja, biasiswa dan sebagainya," kata Muhamad Nadzri kepada RTM.
Sementara itu, rata-rata pengundi muda yang ditemui menzahirkan rasa teruja untuk mengundi kali pertama.
Apa yang dimahukan mereka adalah sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mengutamakan kebajikan rakyat. Sekali gus membawa lebih banyak pembangunan, antaranya dalam sektor ekonomi dan pendidikan.
"Saya tahu untuk siapa saya mengundi, sudah pasti untuk memilih pemimpin yang boleh memajukan ekonomi negeri dan juga negara," kata Muhammad Iqmal Jamaluddin.
(Muhammad Iqmal Jamaluddin)
"Ini merupakan satu tanggungjawab untuk anak muda, satu undi boleh mengubah masa depan negara jadi tunaikanlah tanggungjawab keluar mengundi," menurut Mohammad Nur Firdaus Kamal.
(Mohammad Nur Firdaus Kamal)
Daripada lebih 750,000 pengundi baharu dalam PRU Dewan Negeri Johor kali ini, kira-kira 30% atau 175,000 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.