(Majlis Ikrar dan Tandatangan 'Aku Janji' Integriti 56 calon PN di Senai)
SENAI, 3 Mac - Perikatan Nasional (PN) komited memastikan setiap calon Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor di bawah partinya bersih daripada amalan rasuah.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan komitmen itu dizahirkan demi memerangi rasuah serta mewujudkan kerajaan berintegriti.
"Sebagai orang Islam bersumpah itu adalah satu perkara yang dianggap penting dan jika dilanggar saya takut.
"Oleh itu sangat penting apabila membuat sumpah kita pegang kepada sumpah itu. Ia menunjukkan kepada rakyat Johor kesungguhan kita untuk membanteras dan memerangi rasuah," katanya.
(Muhyiddin pada sidang media di Senai hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Ikrar dan Tandatangan 'Aku Janji' Integriti 56 calon PN di Senai hari ini.
Semua 56 calon PN yang bertanding pada PRU Dewan Negeri Johor melafazkan ikrar dan menandatangani surat Aku Janji Integriti sebagai bukti bahawa parti gabungan itu menolak amalan rasuah.
'Aku Janji' berkenaan merupakan aku janji kedua dilaksanakan parti tersebut selepas mula diperkenal semasa PRU DUN Melaka tahun lalu.