(Mahdzir pada Majlis Penutupan JPKKOA di Pusat Latihan JAKOA, Kluang, Johor)
KLUANG, 3 Mac - Lebih RM3.7 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi meningkatkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat itu di Johor, pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian komited membangunkan masyarakat Orang Asli menerusi pendidikan, ekonomi dan menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk mereka.
"Ini termasuk memperbanyak program modal insan secara berterusan," katanya selepas majlis penutup Kursus Peningkatan Profesionalisme Kepimpinan Mydesa Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKKOA) di Pusat Latihan JAKOA, Kluang.
Program Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu bertujuan melahirkan Tok Batin yang lebih berinformasi, berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti tinggi.
"Elaun RM900 sebulan akan diberikan kepada Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA sebagai imbuhan khidmat demi menjaga kebajikan dan keharmonian masyarakat Orang Asli," katanya.
(Mahdzir Khalid)
Tambah Mahdzir, kursus itu mampu membantu mereka menjadi pengantara di peringkat akar umbi menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak berkuasa dan kerajaan sekali gus menggerakkan nadi pembangunan masyarakat Orang Asli.
Pihak KPLB menerusi JAKOA akan terus menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan, ekonomi, dan peningkatan kemahiran.