(Parti-parti bertanding diminta terus patuh SOP sepanjang tempoh berkempen)
JOHOR BAHRU, 3 Mac - Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 terkini yang digariskan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15 disambut baik rakyat.
Walaupun ceramah dan syarahan dibenar di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti rasmi, pengundi berpendapat kempen secara dalam talian lebih selamat buat mereka.
"Dalam keadaan sekarang memang SOP terkini yang digariskan amat sesuai. Platform media sosial pada saya lebih selamat digunakan dalam tempoh kempen ditambah pula dengan keadaan COVID-19 sekarang," menurut penduduk Dahari Atan.
Perkara sama disuarakan peniaga, Mohd Naim Omar.
"Langkah yang diambil setidak-tidaknya tidak menggangu ketenteraman awam. SOP juga terkawal," kata Mohd Naim.
Sementara itu, memasuki hari keenam kempen, strategi terus disusun parti-parti bertanding. Rata-ratanya sarat dengan pelbagai pengisian terutama di setiap platform media sosial calon.
(Kempen turun padang calon BN Bukit Kepong, Ismail Mohamed)
Tinjauan di Dewan Negeri Bukit Kepong mendapati calon bertanding dilihat terus berkempen dengan menyantuni masyarakat.
Bagi calon BN, Ismail Mohamed beliau bertekad untuk mempercepatkan proses perumahan generasi kedua Felda di Bukit Kepong selain turut memastikan perancangan ekonomi dapat dilakukan kepada anak muda Johor.
"Oleh kerana dalam Ikhtiar Johor ada sebut rumah untuk Felda, saya ambil peluang untuk bantu orang muda. Sekurang-kurangnya kita boleh bawa program Ikhtiar itu untuk dimanfaatkan Felda," katanya.
Sementara itu bagi calon MUDA Nurafiqah M Zulkifli, pendekatan kempen rumah ke rumah masih menjadi pilihan meskipun aktif berkempen menerusi media sosial.
"Bila jumpa pengundi kita lihat keadaan rumah, kehidupan mereka. Bila datang ke rumah baru kita nampak," katanya.
(Calon MUDA Bukit Kepong, Nurafiqah M Zulkifli menyantuni penduduk di Felda Sri Ledang)
Manakala bagi calon PEJUANG, Md Taib Md Suhut pihaknya akan memberi fokus kepada sektor perikanan dan taraf pendapatan penduduk.
Keutamaan turut diberi kepada golongan wanita dan anak muda untuk memulakan perniagaan dalam bidang sama.