fb fb fb fb fb

Perkasa ekonomi luar bandar dengan keusahawanan

PONTIAN, 3 Mac- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu menjadikan kawasan luar bandar berfungsi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi mampan menjelang tahun 2030.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha ini dalam memastikan keusahawanan menjadi aktiviti utama masyarakat luar bandar sekaligus dapat menikmati kehidupan lengkap dan selesa seperti penduduk bandar.

Jelasnya, pemerkasaan aktiviti keusahawanan di luar bandar juga selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk merapatkan jurang pendapatan di antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Sehingga kini lebih 64,000 usahawan di bawah kementerian ini menjalankan pelbagai jenis perniagaan daripada perusahaan kecil-kecilan dan skala besar bagi menyara keluarga masing-masing.Ada juga dalam kalangan usahawan KPLB yang sudah pun menembusi pasaran antarabangsa.Ini satu kebanggaan bagi pihak Kementerian dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan 'Rural to Global'," katanya.

Mahdzir berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Pontian di Stadium Mini Pontian.

Ia merupakan karnival pertama KUD tahun ini yang disertai 100 usahawan tempatan dengan menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung.

Program yang berakhir Sabtu ini, bakal menjadi platform mempromosi kemudahan dan insentif yang disediakan KPLB serta agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

Ia juga menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar serta pembeli.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan Muqassah kepada peminjam Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dari Pontian serta Bantuan Wang Tunai Yayasan Pelajaran Mara bernilai RM100 kepada 100 pelajar kurang berkemampuan di sekitar Pontian dan Tanjung Piai.


(Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada pelancaran Program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD@Pontian) di Stadium Mini Pontian)

 

Media Baharu