JOHOR BAHRU, 4 Mac - Kempen 'Jom Jalan Balik Mengundi' digerakkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) pada 5 hingga 9 Mac dalam usaha menggalakkan pemuda berumur 18 tahun ke atas balik mengundi.
Kempen unik berjalan kaki ini diharap dapat meniup semangat pemuda menunaikan tangggungjawab mengundi, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, 12 Mac nanti.
Timbalan Ketua Pemuda PN yang juga Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen berkata kempen berjalan kaki ini bukan sekadar gimik atau omongan kosong tetapi akan betul dilaksanakan.
"Kempen 'Jom Jalan Balik Mengundi' ini merupakan satu kempen yang simbolik apabila ia melibatkan acara berjalan kaki sepanjang 200 kilometer dari Ibu Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Cheras hingga ke Pagoh, Johor.
"Pemuda PN terutama ahli-ahli dari Pemuda Gerakan akan turut serta dalam pergerakan ini dengan azam semoga ia dapat menghantar satu mesej tentang kepentingan balik mengundi kepada anak muda," katanya dalam kenyataan hari ini.
(Wong Chia Zhen)
Chia Zhen berkata pihaknya turut menjemput parti-pari politik lain termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti MUDA, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia selain NGO termasuk UNDI18 dan Bersih.
Menurutnya, hal ini kerana usaha menggalakkan pemuda keluar mengundi tidak patut dibuat berdasarkan latar belakang politik sahaja.
"Selagi anda bersetuju dengan kami maka kedatangan anda adalah amat dialu alukan untuk menyertai kempen ini," katanya.