(Pengarah SPR negeri Johor, Nor Nekman Jaimon/SPR)
JOHOR BAHRU, 4 Mac - Tidak timbul isu kononnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor "tidak adil" dan "menghukum" parti-parti tertentu.
Pengarah SPR negeri Johor, Nor Nekman Jaimon sebaliknya berkata ia dirangka demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak.
"Jika dilihat, SOP PRU Dewan Negeri Johor adalah lebih fleksibel berbanding pada PRU di Melaka dan Sarawak, tahun lalu. PRU di Johor, parti dan calon bebas memilih untuk berkempen secara bersemuka mahupun menerusi media sosial," katanya dalam temubual bersama RTM.
Beliau berkata SOP kempen di Johor, hakikatnya diberi banyak kelonggaran. Malah, mereka dibenarkan berkempen hingga pukul 12 tengah malam.
"Tentunya ia memberi lebih ruang dan peluang kepada calon dan parti yang bertanding pada kali ini bagi tujuan mendekati para pengundi dalam menyampaikan manifesto masing-masing.
"Walau bagaimanapun SPR ingin mengingatkan semua calon, parti yang bertanding atau pihak-pihak yang terlibat semasa aktiviti berkempen supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 dan menjaga keselamatan semua pihak.
"Lebih penting, kempen-kempen yang dijalankan adalah dalam keadaan harmoni, beretika dan menjaga ketenteraman awam," katanya
Nor Nekman juga berkata pematuhan SOP berkempen oleh calon dan parti yang bertanding, secara umumnya pada tahap sederhana.
"Hingga 2 Mac, sebanyak 412 pelanggaran di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya telah direkodkan. Dan kalau kita lihat daripada statistik berkenaan, majoriti pelanggaran adalah berkaitan bahan kempen iaitu memasang di kawasan larangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di premis-premis kerajaan dan menghalang pemandangan pemandu," tambahnya.
(Mahdzir pada majlis Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Stadium Mini Pontian)
Sementara itu, pemimpin dan rakyat menyambut baik penetapan SOP yang dikeluarkan SPR.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata lanjutan masa berkempen memberi cukup masa kepada calon untuk menyampaikan agenda politik masing-masing.
"SPR telah membuat anjakan maknanya hingga pukul 12 tengah malam, jadi ada lebih masa untuk berkempen," kata Mahdzir.
(Penduduk, Azizi Abdullah)
Rakyat pula rasa lebih yakin dan selamat untuk mengikuti kempen oleh calon-calon dan parti bertanding.
"SOP PRU Dewan Negeri Johor ini nampak berjaga-jagalah, buat masa ini yang datang berkempen juga tidak ramai dalam kumpulan. Kita rasa selamat sikit kerana sebelum ini ramai kalau berkempen," kata penduduk Azizi Abdullah.