JOHOR BAHRU, 4 Mac - Sebanyak 36,729 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang berhak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.
Pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan Petugas Pilihan Raya di semua 56 kawasan Dewan Negeri.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata 28,421 kertas undi bagi kategori Borang 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media.
Manakala 7,814 undi pos bagi kategori Borang 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara.
"Sebanyak 118 kategori Borang 1C iaitu sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding," katanya dalam kenyataan hari ini.
(Sekitar proses penamaan calon 26 Februari lalu)
Dalam pada itu, Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Negeri berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari pengundian.
"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.
SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian PRU Dewan Negeri Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac.