JOHOR BAHRU, 6 Mac - Undi 18 berjaya direalisasikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.
Keputusan ini membuka peluang kepada anak muda mengambil bahagian dalam proses pembangunan negara.
Bagi Nur Afila Shahira Mohd Afandi dan Muhd Saufi Sajadi, penglibatan anak muda menerusi Undi 18 sememangnya membuka dimensi baharu arena politik tanah air.
Ini kerana suara dan kehendak golongan belia penting kerana mereka merupakan pemimpin masa depan.
"Semoga pemimpin yang dilantik dapat menjalankan tugasan dengan baik dan sempurna demi kesejahteraan rakyat terutama golongan belia seperti saya," kata Nur Afila Shahira ketika ditemui RTM di Bukit Tenggara.
"Harapan saya semoga belia sedar dan dapat memenuhi hasrat dan impian tunaikan apa yang tidak dapat dicapai sebelum ini," menurut Muhd Saufi.
(Nur Afila Shahira Mohd Afandi)
Sementara itu, keterujaan disuarakan Siti Nalini Sheikh Mohamad dan Nur Ma Hidaya Zaidi yang pertama kali dapat menunaikan tanggungjawab mengundi.
"Saya sangat teruja diberi peluang untuk mengundi demi masa depan negeri kita sendiri, kawasan dan pemimpin kita kerana Undi 18 itu sudah boleh memilih," menurut Siti Nalini.
"Sebelum ini kita hanya melihat golongan yang lebih tua sekarang anak muda sudah dapat peluang mengundi. Saya sangat teruja dan berharap kerajaan yang baharu ini akan mentadbir negeri Johor dan politik dengan lebih stabil," jelas Nur Ma Hidaya.
(Siti Nalini Sheikh Mohamad)
Daripada lebih 750,000 pengundi baharu dalam PRU Dewan Negeri Johor kali ini, kira-kira 30% atau 175,000 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.
Laporan Aliff Asyraf Kamanor