fb fb fb fb fb

152 laporan polis berkaitan PRU Dewan Negeri Johor

(Kamarul Zaman Mamat pada sidang media hari ini)

JOHOR BAHRU, 6 Mac - Sebanyak 152 laporan polis telah diterima berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor dan 10 daripadanya telah dibuka kertas siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ia melibatkan kesalahan berkaitan perbuatan khianat dengan merosakkan poster, sepanduk serta bahan politik.

"Siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954/Peraturan 16 serta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Setakat hari ini juga, sebanyak 1,411 permit telah diluluskan dan enam permit ditolak.

(Kawalan keselamatan semasa proses penamaan calon, 26 Februari lalu)

Kamarul Zaman turut memaklumkan, seramai 806 pegawai dan anggota siasatan jenayah ditugaskan di lapangan dalam memastikan kelancaran PRU Dewan Negeri Johor kali ini.

Sementara itu, seramai 22,531 pegawai dan anggota polis, tentera dan lain-lain akan mengundi awal, Selasa ini.

Beliau menyeru agar semua yang terlibat dalam undi awal nanti sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Media Baharu