fb fb fb fb fb

PICK tidak sepatutnya dijadikan bahan berkempen

ISKANDAR PUTERI, 5 Mac- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan semua parti bertanding agar tidak menggunakan Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan (PICK) sebagai bahan meraih undi.

Menurut beliau, isu pemberian vaksinasi percuma PICK tidak sepatutnya dijadikan bahan berkempen parti politik sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor.

PICK merupakan usaha kerajaan yang dibentuk bersama gabungan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“ PICK diberikan percuma di bawah kerajaan persekutuan, di mana kerajaan dibentuk oleh parti BN, PN dan GPS. Jadi ia adalah satu program semua parti yang terlibat dalam kerajaan, program kebangsaan.

“Saya rasa tak perlulah kita jadikan sebagai bahan kempen pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah kejohanan PUBG Offline Piala Ketua Bahagian Kota Iskandar di bilik gerakan BN kawasan itu, pada Sabtu.

 

(Khairy melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional Iskandar Puteri, Johor)

Khairy berkata, mana-mana parti dalam gabungan kerajaan boleh pada bila-bila masa menjadikan isu PICK sebagai modal politik pilihan raya namun ia tidak dilakukan kerana tidak perlu.

“Parti dalam kerajaan boleh ‘claim credit’, sebagai wakil dalam kerajaan, sama juga kalau BN nak buat benda sama boleh buat, kalau GPS nak buat mereka boleh juga, sebab parti yang ada dalam kerajaan mereka ini yang bertanggungjawab dalam program PICK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PN memasang papan iklan tertera tulisan “vaksinasi COVID-19 percuma kepada semua” sebagai bahan kempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor.

"Bagi mereka peluang berkempen, kita buat secara sihat, dan kita pun telah mengesyorkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang
agak baik, ada peluang untuk mereka adakan ceramah, walaupun bukanlah besar besaran, selamat maju jaya, kepada semua," katanya.

Media Baharu