fb fb fb fb fb

UMNO, BN komited pertahan Kerajaan Perpaduan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO sedang memberikan ucapan sempena Program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di Kuala Nerang hari ini / Foto BERNAMA

KUALA NERANG, 4 Mei - UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan meskipun terdapat usaha untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran UMNO dan BN di dalam kerajaan kini memungkinkan parti berkenaan dapat melaksanakan dasar dan agenda yang dapat memanfaatkan rakyat.

Jelas Ahmad Zahid, pihaknya turut berterima kasih terhadap rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang sentiasa memberikan sokongan terhadap UMNO terutamanya pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sehingga membolehkan parti berkenaan memperolehi kemenangan sebelum ini.

"UMNO dan BN bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan banyak perkara yang kita boleh lakukan sebab kita berada dalam kerajaan", katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah merangkap Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
 
Sementara itu, pada ucapan sama, Ahamd Zahid menggesa agar parti berkenaan menggembleng tenaga bagi menawan semula Kedah pada pilihan raya akan datang.

"Saya harap ketua-ketua cawangan, ketua Wanita, Pemuda, Puteri perkukuhkan akar umbi kerajaan, rakyat rindu untuk UMNO dan BN memerintah semula di negeri ini (Kedah) dan di seluruh negara Insya-Allah", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD