KUALA LUMPUR, 3 Mei- Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini, bersetuju memberikan sokongan penuh bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO sedia memberikan komitmen penuh dengan menggerakkan jentera bahagian daripada seluruh Selangor dan negeri-negeri yang diterajui UMNO bagi membantu kempen PRK itu.
"UMNO memberikan komitmen penuh untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan yang diwakili PH dalam PRK dengan menggerakkan jentera Bahagian UMNO seluruh negeri dan negeri yang diterajui UMNO, " katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat MKT di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Asyraf Wajdi juga memaklumkan mesyuarat itu menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai 1 Disember ini.
"Ini pastinya mampu menyantuni harapan dan aspirasi penjawat awam sejak sekian lama," ujarnya.
Sementara itu, MKT memutuskan sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 pada 11 Mei akan diadakan serentak di seluruh negara.
"Ibu pejabat UMNO Malaysia bersama Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan akan mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yassin dan doa selamat di Dewan Tun Hussein Onn, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)," katanya.